Wednesday, November 25, 2009

Mahkamah Rayuan Terima Permohonan SPR Tangguhkan Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mahu satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Kota Siputeh, Kedah.

Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya, memutuskan bahawa wujud keadaan khas untuk menangguhkan sementara keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil kepada suruhanjaya itu.

"Kebenaran penghakiman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi perlu diuji di mahkamah lebih tinggi," kata Hakim Sulong selepas hampir dua jam panel tiga hakim itu mendengar permohonan yang difailkan oleh suruhanjaya itu pada Selasa.

Dalam penghakiman yang dibacakan pada pukul 7.24 malam, Hakim Sulong berkata mereka telah bersetuju sebulat suara bahawa tidak ada pihak akan mengalami akibat dan prasangka jika perintah penangguhan itu dibenarkan.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan pilihan raya kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan pembaziran dana awam.

Terdahulu, Datuk Abu Hassan Sarif hari ini memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu yang memutuskan beliau bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh dan kerusi berkenaan telah kosong serta satu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Beliau memfailkan dokumen itu dihadapan pendaftar Mahkamah Rayuan melalui peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat di sini pada Selasa.

Abu Hassan secara peribadi mengesahkan afidavit-afidavit di hadapan Pesruhujaya Sumpah di Putrajaya pada pukul 10 pagi tadi.

Satu lagi permohonan serupa yang difailkan oleh SPR turut didengar di Mahkamah Rayuan pada pukul 2.30 petang tadi.

No comments:

Post a Comment