Thursday, November 5, 2009

Kerajaan Pusat akan beri wang ehsan kepada Kelantan

Keputusan Kerajaan Persekutuan yang akan memberi wang ehsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan mulai tahun hadapan hasil daripada pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau mengumumkan khabar berita gembira buat rakyat Kelantan itu di Dewan Rakyat pada hari ini. sudah pasti ia mampu memberi lebih kesejahteraan dan kemakmuran buat rakyat negeri tersebut yang mana ia amat bertepatan dengan gagasan beliau, ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

Walaupun di satu pihak menolak sebarang usaha perpaduan yang menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah negara dan bangsa tetapi dengan penuh rasa komited menunaikan tanggungjawab, pemberian wang ehsan itu memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri mendukungi gagasan beliau itu yang akan sentiasa memastikan rakyat di negara ini terus menikmati kemakmuran yang sewajarnya melangkaui sempadan kaum, agama dan politik.

Perkara utama yang menjadi agenda Perdana Menteri sebagaimana yang dikatakannya hanyalah demi kepentingan rakyat di mana peruntukan akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program pembasmian kemiskinan yang akan dinikmati oleh rakyat secara terus.

Keputusan kerajaan persekutuan yang berbesar hati memberi wang ehsan kepada Kelantan dibuat setelah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.

Perdana Menteri juga telah berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Sehubungan itu, ia jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan yang bukan mengamalkan sikap pilih kasih malahan Bajet 2010 yang dibentang pada hujung Oktober lalu ternyata memberikan banyak kelebihan dan memenuhi hasrat rakyat keseluruhannya.

Dan tidak mustahil juga selepas ini akan timbul lagi perkara-perkara yang bersikap prejudis terhadap kepimpinan negara dari pihak-pihak pembangkang yang sehingga kini masih ‘segan silu’ mengakui bahawa mereka tetap memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan dalam menjana kemakmuran negeri yang ditadbir oleh mereka.

No comments:

Post a Comment