Sunday, June 3, 2012

Ucapan di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin BN Shah Alam




JAYAKAN TRANSFORMASI GAGASAN 1 MALAYSIA


Salam Sejahtera kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan seperjuangan dalam parti Malaysia India Congress atau lebih dikenali MIC yang juga salah satu ahli komponen atau lebih tepat lagi “seorang sahabat karib lagi setia” parti Barisan Nasional yang kita payungi bersama dibawahnya.
Sepintas lalu sejenak mengintai sejarah parti MIC yang telah berusia dan bertapak di bumi Malaysia selama 66 tahun yang seusia dengan parti UMNO, banyak dan bermacam cabaran, onak dan duri yang telah ditempuhinya semenjak dari zaman kolonial Inggeris sehingga ke zaman cyber. Ianya bukan satu perkara yang mudah atau senang untuk bertahan bagi sekian lama yang mana parti MIC telah banyak berjasa dan berbakti kepada orang-orang India selaras dengan objektif penubuhannya.

Kejayan yang dikecapi selama ini adalah disebabkan oleh kematangan, kesetiaan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin besar mereka seperti Tun V.T. Sambanthan, Tan Sri Dato’ Seri Manickavasagam, Dato’ Seri Samy Vellu dan seluruh ahli-ahli MIC terhadap parti Barisan Nasional sejak dulu hingga kini tanpa berbelah bagi bersama-sama berjuang dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia bagi memainkan peranan yang sangat signifikan bagi membangunkan Negara tercinta Malaysia.

Parti yang diasaskan oleh seorang peguam yang pernah meringkup di dalam penjara kerana telah berjuang bermati-matian bagi nasib bangsa kaum India yang bernama John A Thivy yang pada asal objektif penubuhannya adalah untuk membantu menyelesaikan masalah sosial dikalangan masyarakat India pada tahun 1946 seperti membawa keluar dari kepompong kemiskinan, pembasmian buta huruf, permasalahan pengambilan alkohol, keganasan rumah tangga dan sebagainya telah berubah dengan satu anjakan paradigma untuk menjadi sebuah parti berasaskan satu kaum yang besar, dinamik dan dihormati di kalangan masyarakat India sejajar dan selaras dengan perkembangan arus perdana kerana MIC adalah sebuah parti yang pertama dan telah melakukan pendirian yang amat bijak dibawah kepimpinan Kundan Lal Devaser pada tahun 1954 bagi memperjuangkan nasib masyarakat India dengan menyatakan persetujuan menyertai Parti Perikatan apabila Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj mempelawanya dan seterusnya setelah lebih 50 tahun masih kekal setia di bawah panji Parti Barisan Nasional sehingga kini.

Kita lihat dewasa ini berbanding 30-40 tahun yang lepas, masyarakat India majoritinya telah maju dan dengan sendirinya telah keluar dari paras kemiskinan, buta huruf, masalah sosial untuk sama-sama berdiri megah dan bangga dikalangan kelompok elit rakyat Malaysia. Ahli konglomerat, bidang professional seperti peguam dan doktor ramai terdiri dikalangan masyarakat India. Ini sudah cukup membuktikan bahwasanya polisi dan dasar parti Barisan Nasional yang memerintah Negara ini sejak tahun 1957 tidak pernah meminggirkan masyarakat dan peranan masyarakat India selama ini. Dari seorang buruh kasar atau pekerja ladang getah yang dibawa oleh orang-orang Inggeris kini “transformasi” yang dibawa oleh Parti Barisan Nasional terhadap masyarakat India telah membawa perubahan hingga ke tahap yang amat membanggakan.

Tetapi sejak March 2008 iaitu selepas PRU12, jasa dan pengorbanan parti MIC selama ini dipandang sinis dan dipertikaikan oleh sesetengah masyarakat India yang hanya “digula-gulakan” oleh parti pembangkang. Isu-isu berkaitan penindasan dan peminggiran terhadap masyarakat India di Malaysia dijaja yang mengatakan kaum minoriti seperti masyarakat India dipinggirkan dari arus perdana baik dari segi kabajikan, pendidikan, sosial dan politik hanya untuk mendapat “laba politik” untuk sementara waktu.

Kes yang masih segar dibenak minda dan sudah pasti masyarakat India tidak akan pernah lupa, kita lihat rakan-rakan atau masyarakat India kita di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang bagaimana mereka ditipu, dihalau dan dipinggirkan selepas pelbagai janji manis ditaburkan kepada mereka. Di Selangor pun apa kurangnya, mana janji-janji manis pilihanraya yang terdahulu yang ingin memberikan perhatian khusus kepada masyarakat India untuk meningkatkan kehidupan seharian mereka dari segi pendidikan, agama, sosial, kebajikan dan sebagainya dan tetapi yang ada hanyalah Parti Barisan Nasional yang melaksanakan semuanya tanpa mengira fahaman politik dan kaum. Sebagai contoh;

1) Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BRIM RM500 untuk setiap rakyat dibawah gaji RM3,000,

2) Bantuan Sekolah RM100 1 Malaysia untuk setiap pelajar sekolah menengah dan rendah,
3) Bantuan Voucher Buku RM200 1 Malaysia untuk setiap mahasiswa di IPT
4) Bantuan Perubatan Klinik 1 Malaysia,
5) Bantuan Kedai Rakyat 1 Malaysia dan pelbagai lagi telah membuktikan kerajaaan Barisan Nasional adalah sebuah parti yang sering mendokong prinsip-prinsip dan mempunyai intergriti melaksanakan apa yang telah dijanji dan sentiasa dan sering berusaha menjaga kebajikan dan memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia dengan pelbagai bentuk bantuan dan insentif tanpa memperjudikan nasib rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Perang dan semboyan PRU13 akan tiba di dalam jangka masa yang terdekat, kita semua sudah tidak banyak masa lagi. Oleh itu saya mohon dan menyeru kepada semua rakan-rakan komponen terutamanya MIC untuk mengembeleng tenaga dan memusatkan semua aktiviti atau program berorentasikan PRU13, MIC perlu menjadi jentera pilihanraya dan kumpulan sokongan yang kekal setia dan sedia memberi komitmen dan berusaha bersama UMNO dan komponen lain dan perlu saling bantu membantu dan merapatkan barisan perpaduan dibawah Konsep 1 Malaysia bagi menghadapi PRU13 dan seterusnya memberi kejayaan kepada Barisan Nasional di dalam Parlimen Shah Alam dan Dun Batu Tiga dan Kota Anggerik.

Ini bukan satu tugas mudah, kita semua perlu bekerja keras dan bersiap sedia dari sekarang dengan sepenuh kapasiti kekuatan yang ada pada kita untuk berusaha meraih seberapa banyak undi dari kalangan masyarakat India yang sebelum ini memang sudah terkenal sebagai pengundi tradisional dan setia kepada Barisan Nasional sejak merdeka. Kita kena kembalikan kesinambungan ini untuk memastikan kemajuan dan pembangunan masyarakat India yang dirancang dan dibangunkan di Selangor khasnya dan Malaysia amnya tidak terencat dan musnah dalam sekelip mata.

Dengan itu, saya menyeru kepada semua masyarakat India yang hadir pada hari ini marilah kita perlu bersama berganding bahu didalam objektif menebus dan mendapatkan semula kerusi parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik kepada BN di dalam PRU13 seterusnya menjayakan agenda transformasi yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri kita.





Azhari Shaari

No comments:

Post a Comment