Monday, June 4, 2012

688 AHLI PAS SERTAI UMNO

Alhamdulillah. Rakyat semakin sedar bahawa perjuangan parti pembangkang hanyalah sia-sia.

Seramai 360 ahli Pas Titi Kasai dan 328 lagi dari Felda Ijok, bertindak keluar parti itu selepas kecewa dengan perjuangan yang dianggap tidak lagi berteraskan Islam sebenar selain hanya merebut kuasa atas tiket peribadi.

Bekas Setiausaha Cawangan Pas Titi Kasai, Abdul Wahab Mahmod, 43, berkata, beliau kecewa dengan janji kosong yang ditaburkan pemimpin Pas setelah 23 tahun menjadi ahli parti berkenaan.

"Dulu saya sokong Pas kerana ia mendokong Islam, namun apabila saya sudah mendalami ilmu, Islam itu bukannya hanya terletak pada Pas malah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.

"Pas sekarang agresif serta tidak menyenangkan banyak pihak. Satu-satu markas Pas boleh laung takbir 'Allah Maha Besar' tetapi pada masa sama, mereka kata 'mampus UMNO'. Mereka sebut kalimah yang suci dan selepas itu mereka maki balik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian UMNO yang disampaikan kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin pada majlis kenduri rakyat di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini.

Terdahulu, Hamzah turut menyertai 500 konvoi bermotor anak muda yang bermula dari Ulu Sepetang ke Kampung Titi Kasai di sini.

Seorang lagi ahli UMNO baru dari Felda Ijok, Zaharudin Zakaria, 55, pula menyifatkan sokongan yang diberikannya kepada parti itu selama 30 tahun hanya sia-sia.

Menurut Zaharudin, Pas turun padang semata-mata untuk meraih undi tanpa menghulurkan sebarang bantuan sebaliknya mengumpan dengan janji-janji kosong kepada penduduk setempat.

"Mengundi Pas hanya menguntungkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menantu saya duduk di Pulau Pinang kata hidup di sana susah, hendak beli rumah pun sukar, jadi terpaksa balik ke sini," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, melalui penyertaan sebagai ahli UMNO, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengulangi kemenangan '4-0' melibatkan kerusi Parlimen Larut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Kurau, Kubu Gajah dan Selama.

Menurutnya, daripada sejumlah 42,000 pengundi di Parlimen Larut ketika ini, hampir 30,000 daripadanya menyokong UMNO manakala seramai 3,000 dan 2,000 lagi menyokong MIC dan MCA.

"Hari ini kemasukan ahli UMNO baru ini hanya melibatkan dua DUN sahaja iaitu Batu Kurau dan Kubu Gajah.

"Selepas ini, kita akan buat untuk DUN Selama pula. Ramai ahli pembangkang kini sudah mula menyertai UMNO untuk bersama-sama membela nasib bangsa, agama dan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment