Thursday, May 20, 2010

Pemuda UMNO Shah Alam hargai jasa guru.

Sempena sambutan Hari Guru, Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam menyumbang tujuh biji kek kepada tujuh buah sekolah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan golongan itu mendidik anak bangsa.

Ketuanya, Azhari Shaari berkata, pemberian hadiah itu yang bermula tahun lepas sebenarnya terlalu kecil berbanding sumbangan guru yang tidak ternilai kepada masyarakat.

"Tanpa guru, tidak akan wujud ahli politik, doktor, wartawan, peguam dan sebagainya, maka kita yang sudah lama berhenti sekolah wajar mengenang jasa guru yang mendidik anak-anak kita dan anak bangsa tanpa jemu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan kek di tujuh buah sekolah di sini hari ini.

Azhari berkata, program sempena Hari Guru akan diteruskan pada setiap tahun bagi menghargai jasa golongan pendidik tidak kira yang baru atau lama.

Sekolah-sekolah yang menerima kek tersebut ialah Sekolah Menengah (SM) Seksyen 7, SM Seksyen 9, SM TTDI, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seksyen 6, SRK Rendah Dua Seksyen 6, SRK Seksyen 9 dan SRK Seksyen 19.

Guru Besar SRK Seksyen 6, Asmui Kairon, 52, ketika ditemui mengucapkan syukur kerana ada pihak yang prihatin dengan pengorbanan guru mendidik anak bangsa dan menghargai jasa guru kepada masyarakat.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Shah Alam yang menyanjung tinggi profesion guru," ujarnya.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SRK Seksyen 9, Ong Eng Too berkata, sumbangan kek itu adalah contoh kepada generasi muda tentang pentingnya menghargai mereka yang telah banyak berjasa dalam melahirkan insan berguna dan berbakti kepada negara.

No comments:

Post a Comment