Tuesday, March 16, 2010

Parlimen, Ada Yang Bakal Meletup.?


Zulkifli Noordin yang keluar PKR dan kini ahli parlimen Bebas percaya akan berlaku satu perkara yang bakal meletupkan suasana politik negara pada peringkat awal sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin.

“Tunggu dan lihat! Jangan kemana-mana, dan jangan betulkan antenna telinga anda..apa yang bakal terjadi pasti akan menyebabkan anda semua memerlukan pampers..hehehe,” ujar ahli parlimen Kulim Bandar Bharu itu.

Sidang Dewan Rakyat ke 12 Penggal ke tiga akan berlangsung hingga 15 April.

Zulkifli yang meninggalkan parti itu dua minggu lalu, tidak menyatakan perkara bakal meletup itu tetapi ada desas desus kemungkinan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Menerusi tulisan terbarunya di blognya, Zulkifli turut menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengenepikan konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi apabila tidak mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang kepada pemimpin DAP yang mendominasi kerusi ahli parlimen pembangkang sekarang.

Selepas ahli parlimen PKR, Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) keluar parti dan jadi ahli parlimen Bebas termasuk Zulkifli, PKR kini hanya tinggal 26 kerusi sahaja.

Walaupun ada pihak berpendapat PKR masih ada 27 kerusi, Zulkifli berkata ahli parlimen Sungai Siput, Jeyakumar mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) bukannya PKR.

Menurut Zulkifli, Anwar seharusnya mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada Lim Kit Siang kerana DAP mendahului dengan 28 kerusi dan PAS cuma 23 kerusi sahaja.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak boleh mengiktiraf Pakatan Rakyat kerana PR bukan sebuah badan berdaftar, sekadar kerjasama politik yang tidak mempunyai entiti perundangan, tidak saperti BN yang berdaftar.

Beliau juga cukup pasti DAP dan PAS membawa usul dalam Parlimen supaya Anwar dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

Zulkifli juga yakin Fir'aun-Fir'aun Kecil yang mengelilingi Anwar telah mempengaruhi beliau dengan menyatakan bahawa dari segi undang-undang tidak jadi masalah untuk ahli parlimen Permatang Pauh itu terus berpaut kepada jawatan Ketua Pembangkang walaupun PKR sudah hilang majoriti.

Menurutnya lagi, berdasarkan kedudukan jumlah kerusi parti-parti bukan kerajaan dan Peraturan 2 Peraturan mesyuarat Parlimen Malaysia, dan berdasarkan prinsip 'amalan berparlimen sejagat serta nilai demokrasi yang diterima pakai, susunan kerusi sepatutnya kini berubah.

Ini bermakna, semua Ahli Parlimen DAP sepatutnya duduk di blok paling depan sebelah kiri Speaker, iaitu Blok I, diikuti oleh Ahli Parlimen PKR dan kemudiannya PAS dan PSM.

“Jadi saya nak tengok esok apakah susunan tersebut dilaksanakan oleh Tan Sri Speaker. Sekiranya tidak, kemungkinan akan ada usul Peraturan Mesyuarat dibawa untuk susunan kerusi dibuat mengikut apa yang saya sebut tadi,” ujarnya.

Zulkifli menegaskan, pada sidang ini, buat pertama kalinya beliau akan bertindak sebagai wakil bebas dan akan memainkan peranan saya untuk mewakili suara umat Islam dan kepentingan Islam.

No comments:

Post a Comment