Monday, December 28, 2009

PAS Bukan Parti Agama



Sebelum ini, didalam pilihanraya-pilihanraya kecil atau umum, Pas sering menggunakan modal "undi Pas dapat pahala". Para pengundi juga sering dimomokkan dengan "undi Pas akan masuk syurga". Tetapi selepas ini jika secara rasmi PR didaftarkan, apakah slogan ini masih boleh diguna pakai ?

Mungkin selepas ini kita akan mendengar pula slogan "undi PR dapat pahala" biarpun calonnya itu dari parti DAP. Mungkin juga kita akan dapat melihat banner-banner pilihanraya berbunyi "saya orang Islam, wajib undi PR" seperti yang pernah di pamer di pilihanraya kecil Bukit Gantang. Ini semua bakal mengelirukan lagi pemikiran umat Islam di negara ini.

Pas yang sebenarnya bukanlah sebuah parti agama. Pas merupakan sebuah parti yang diluluskan oleh penjajah pada tahun 1951 bagi mengimbangi kekuatan Umno. Parti Pas lahir diatas rasa kecewa dan juga perebutan kuasa dikalangan pemimpin-pemimpin melayu ketika itu.

Untuk menjanjikan pahala dan syurga kepada pengundi-pengundi di negara ini, kita harus ingat bahawa istilah Pas tiada didalam rukun serta perundangan Islam. Pas merupakan parti yang dibuat oleh penjajah hanya untuk memecahkan orang melayu daripada bersatu dibawah satu parti.

Apabila ulamak-ulamak politik Pas mendakwa bahawa jika mengundi Pas beroleh pahala, mereka lupa bahawa Pas bukanlah parti agama. Jadi masyarakat harus sedar bahawa undi Pas tidak semestinya masuk syurga, undi Pas juga tak menjanjikan pahala. Begitu juga jika jika tak memenangkan Pas, umat Islam akan masuk neraka. Tidak memenangkan Pas juga tak semestinya membuatkan kita berdosa.

Sejak sekian lama dakyah sesat ini dimanipulasi oleh ahli-ahli politik Pas didalam menjuarai permainan politik mereka. Banyak juga umat islam terpedaya dengan cara mereka memutarbelitkan ayat Quran dan hadis. Ini terjadi kerana segelintir individu ini lupa bahawa Pas sebenarnya hanyalah parti politik ciptaan manusia.

Jika ahli-ahli politik didalam Pas mahu berkeras menyatakan mereka itu sebuah parti Islam yang boleh menjanjikan syurga serta pahala, perlu ditanya kepada mereka dimanakah tauliah dari Allah kepada parti mereka didalam hal itu?

Pas boleh dikatakan telah menyeleweng apabila mengaitkan syurga dan pahala didalam permainan politik mereka. Pas bukanlah merupakan satu prinsip agama. Pas juga bukanlah satu aqidah yang perlu ditauhidkan. Tiada satu ayatpun yang mentauliahkan kepada Pas untuk menjadi pemberi pahala dan juga penjaga pintu syurga.

Pas telah terdesak untuk mengabui mata rakyat supaya rakyat tidak melihat kelemahan pentadbiran mereka. Pahala dan syurga yang dijanjikan hanyalah semata-mata untuk meraih simpati dari umat Islam dinegara ini. Ahli-ahli politik Pas sebenarnya tak ubah seperti penjual ubat kuat yang bijak bermain kata-kata untuk melariskan jualannya. Keberkesanannya belum tahu tetapi yang penting hanyalah jualannya laku.

Apakah didalam Al Quran dan hadis ada menyatakan bahawa kita wajib mengundi dipihak Pas sahaja dan akan beroleh syurga serta pahala jika menjadi ahlinya? Jika ada maka amat malanglah umat Islam dinegara lain kerana Pas tidak wujud di negara mereka. Amat beruntunglah pula umat Islam di negara ini kerana dikurniakan Allah parti Pas di sini.

Minda jemaah-jemaah Pas di negara ini telah ditarbiyahkan bahawa Pas sebuah parti agama kerana perlembagaannya berteraskan Islam dan berjuang untuk negara Islam. Ini yang membuatkan mereka begitu taksub menyokong ahli-ahli politik didalam barisan kepimpinan Pas.

Jemaah Pas lupa bahawa tugas ahli politik hanya untuk memenangkan parti yang dinaunginya. Tiada bezanya tugas ahli politik dengan pekerja kilang contohnya jika dilihat dari skop matlamat dan tujuan. Begitulah juga dengan ahli politik Pas.

Jika mahu dikatakan Pas itu betul-betul ingin melaksanakan Al Quran dan hadis didalam sistem pemerintahan negara, mengapa di negeri-negeri yang telah diperintah oleh Pas tidak dilaksanakan sistem berlandaskan Al quran dan juga hadis dengan sepenuhnya ? Mengapa pula hukum menutup aurat di Kelantan hanya di laksanakan kepada peniaga sahaja dan bukannya menyeluruh kepada semua umat Islam dinegeri itu ?

Jadi, bagi sesiapa yang mempercayai bahawa dengan mengundi Pas akan beroleh ganjaran pahala, serta menjadi ahli Pas juga dijamin akan mendapat tempat di syurga, haruslah kembali membetulkan aqidah mereka.

Janganlah terpedaya dengan sikap-sikap ulamak politik Pas yang semakin berlebih-lebih didalam memutarbelitkan Islam demi kepentingan peribadi mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Jauhilah olehmu daripada ghuluw dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu (Ahlul Kitab) adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.
-Hadis Riwayat Ibnu Majah.

“setiap yang baru (dalam agama) adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat, dan setiap sesat itu di dalam neraka”

No comments:

Post a Comment