Tuesday, January 12, 2010

Bakar Gereja bukan gerakan terancang.


Nampaknya orang-orang tidak dikenali yang gatal tangan mahu bikin kecoh terus beraksi.Sejak Jumaat hingga Ahad jumlahnya sudah tujuh gereja dikacau termasuk yang dibakar di Desa Melawati,Hulu Kelang dekat Kuala Lumpur.

Terbaru ialah dua kes di Taiping,satu di Miri dan satu di Melaka.

Di Miri ,Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, kira-kira 10km dari bandar itu, dua daripada tingkap kacanya pecah selepas dibaling bata.

Kejadian di Taiping pula membabitkan gereja All Saints dan pos pengawal Sekolah Menengah Convent.

Tiada kerosakan pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent yang dilempar dengan molotov cocktail pada jam 3.30 pagi.

Insiden di gereja itu hanya disedari penjaga gereja jam 7.30 pagi.

Polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan mendapati dua kesan tompok hitam di dinding gereja serta menemui dua botol yang telah pecah dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Sementara di Durian Daun Melaka,ada orang yang membaling cat hitam ke dinding gereja di situ.

Menteri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bercakap dalam sidang akhbar di tapak ekspo Juara Rakyat di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat Rawang Ahad memberitahu semua kejadian di berbagai tempat itu bukanlah gerakan terancang oleh mana-mana pihak.

Beliau menilai ia cuma satu perbuatan berasingan dilakukan oleh pihak tertentu.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di internet serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata terdapat segelintir media asing yang memberi gambaran kurang tepat, malah menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada para perwakilan kedutaan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu tersebut.

"Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil daripada internet.

"Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

Hishammuddin juga memberi ingatan kepada pihak yang cuba melibatkan Umno dan kerajaan dalam isu tersebut supaya menghentikan perbuatan itu, dan memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Tuduhan mengatakan UMNO sebenarnya di belakang semua kejadian ini merupakan satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat-maklumat tertentu berhubung siapa yang terlibat," katanya

No comments:

Post a Comment