Tuesday, September 29, 2009

Nik Aziz perlu bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan - Dr Mahathir

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada satu tahap tertentu, beliau bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal," kata beliau bagi menjawab soalan mengenai kepimpinan Nik Aziz.

Dr Mahathir berkata demikian selepas majlis pembukaan Sidang Kemuncak Tadbir Urus Korporat 2009 hari ini yang bertajuk "Truth, Lies and Corporate Governance".

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan gesaan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya Nik Aziz meletak jawatan kerana gagal membawa kemajuan di Kelantan.

Nik Aziz sebelum itu dilaporkan telah meminta Ibrahim mengosongkan kerusi parlimennya berikutan tindakan-tindakannya yang menjejaskan PAS.

Dr Mahathir berkata, masalah bagi situasi politik tempatan adalah ramai pemimpin yang enggan melepaskan kerusi mereka.

"Masalah dengan kerusi yang selesa diduduki adalah anda tidak mahu bangun langsung. Anda hanya duduk," katanya sambil menambah beliau berundur selepas 22 tahun kerana "Saya rasa orang telah bosan dengan saya."

Berhubung Ibrahim Ali, Dr Mahathir berkata, negara memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau.

"Kita memerlukan seseorang yang berkecuali dan prihatin hanya kepada urus tadbir yang baik dan akan mengkritik sesiapa sahaja sama ada Kerajaan atau pembangkang," katanya.
Sementara itu, di Pasir Mas, pertubuhan Melayu tempatan bukan kerajaan mencabar PAS Kelantan untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Tendong bagi membolehkan Ibrahim bertanding dengan Nik Aziz.

Timbalan Presiden Pusat Khidmat Penjagaan Rakyat Pasir Mas, Mohd Sapani Zakaria berkata, Nik Aziz harus bertanding kerusi itu dan membuktikan Ibrahim telah kehilangan sokongan di kawasan itu.

Monday, September 28, 2009

KRUSUS KEMAHIRAN PEMPROSESAN MAKANAN SESI 2010


KURSUS KEUSAHAWANAN KEMAHIRAN PEMPROSESAN MAKANAN PUSAT BIMBINGAN USAHAWAN JABATAN PERTANIAN SESI 2010

Permohonan Mengikuti Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan tahun 2010

Tarikh tutup permohonan30 November 2009

PENGENALAN: Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bermula pada tahun 2002 untuk melahirkan usahawan muda yang menceburkan diri secara serius dalam perniagaan asas tani seperti makanan sejuk beku, bakeri, produk-produk berasaskan kelapa dan produk-produk berasaskan buah-buahan.

PELAKSANAAN: Kursus akan dijalankan secara hands-on untuk memastikan peserta benar-benar mahir dari segi teknikal pengeluaran produk yang bermutu, komersil dan menepati standard GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik).
Di samping itu, peserta akan didedahkan dengan kaedah menjalankan perniagaan yang profesional terutama dalam aspek keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan penyediaan Rancangan Perniagaan.Peserta juga akan menjalani program dampingan di premis usahawan yang telah maju di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.

PENGAMBILAN PESERTA: Pengambilan peserta dibuat setahun sekali.

TEMPOH KURSUS: Jangkamasa kursus ialah selama enam (6) bulan bermula secara sepenuh masa.

KEMUDAHAN DISEDIAKAN: Tempat tinggal sepanjang tempoh kursus:

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN: Warganegara Malaysia· Berumur antara 20-40 tahun· Jantina lelaki dan perempuan·

Berkelulusan sekurang-kurangnya SPM/SPMV·

Tinggal di asrama sepanjang tempoh kursus· Sihat tubuh badan· Berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus

TEMPAT-TEMPAT LATIHAN: Kursus dijalankan di tujuh (7) buah Pusat Bimbingan Usahawan mengikut pengkhususan yang telah ditetapkan seperti berikut:Pusat Bimbingan UsahawanPengkhususanPBU Serdang, SelangorSejuk Beku(Cth : Karipap, pizza, pie, roti canai, donut, kasturi, roti bom)PBU Ayer Hitam, JohorBakeri(Cth : Pelbagai jenis roti, kek, pastri dan biskut)PBU Manong, PerakBakeri & Sejuk Beku (Asas Kelapa)(Cth : Kerisek, santan, dodol, serikaya, biskut kelapa, pes rendang-tok, pedas, candy kelapa)PBU Teluk Chengai, KedahBakeri & Sejuk Beku(Cth : Gabungan produk sejuk beku dan bakeri)PBU Ajil, Terengganu Hasilan Buah-Buahan(Cth : Jem buah-buahan, kordial, puree)PBU Pagoh, Johor (Baru) Hasilan Buah-Buahan(Cth : Jem buah-buahan, kordial, puree)PBU Melor, Kelantan (Baru) Makanan Ringan(Cth : Pelbagai kerepek)

CARA-CARA MEMOHON: Sila dapatkan borang permohonan melalui alamat di bawah:Laman web Jabatan Pertanian : www.doa.gov.my Atau Jabatan Pertanian Negeri / Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiranAtauBahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas TaniJabatan PertanianWisma Tani, Aras 8, No. 30, Persiaran PerdanaPresint 462624 Putrajaya.Tel: 88703553 / 3544 / 3539 (Pn. Maznahwati / Pn. Rafidah Ibrahim /Pn. Zaharina Hassan)

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: Permohonan adalah dibuka mulai sekarang hingga tarikh tutup pada 30 November 2009.

MAKLUMAN: Borang yang telah dilengkapkan hendaklah mendapat pengesahan dari Pejabat Pertanian yang berhampiran. Sila kemukakan borang yang telah lengkap diisi ke alamat seperti berikut :Timbalan Pengarah (Industri Asas Tani)Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas TaniJabatan PertanianWisma Tani, Aras 8, No. 30, Persiaran PerdanaPresint 462624 Putrajaya.Hanya calon-calon yang memenuhi syarat sahaja akan dipanggil untuk temuduga.

Friday, September 25, 2009

Sultan Pahang mahu rakyat terus sokong kerajaan Barisan Nasional


Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka.
Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu merupakan agenda pembangunan mampan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-dua belah sungai berkenaan.

"Jambatan Kuala Krau berfungsi memendekkan perjalanan di antara Bandar Tun Razak, Jengka dengan Kuala Krau 20 minit berbanding satu jam sebelum ini yang jaraknya sejauh 55 kilometer.

"Di samping itu, jambatan ini juga akan menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kepada penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Jerantut dan Temerloh di mana ia memendekkan perjalanan menjadi 22 kilometer sahaja dengan memberi manfaat kepada 60,000 orang penduduk dari daerah Jerantut, Temerloh dan Maran," titahnya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan Kuala Krau di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamad Said, Anggota Dewan Undangan Negeri Jenderak Datuk Mohamad Jaafar dan Pegawai Daerah Temerloh Datuk Dr Salehudin Ishak.

Dalam pada itu, baginda turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang yang melalui jambatan berkenaan.
Terdahulu, Pengarah JKR Pahang Datuk Ir Rosman Yahaya dalam taklimat ringkas kepada baginda berkata, jambatan yang mula dibina pada Ogos 2007 itu dijangka siap pada Februari tahun depan di mana kini ia sudah 82 peratus siap.

Katanya jambatan empat lorong sepanjang 490 meter dan lebar 13.9 meter itu mempunyai reka bentuk yang menarik dan bakal menjadi mercu tanda bagi kawasan Parlimen Kuala Krau.

Thursday, September 17, 2009

Pembangkang Mula Manipulasi Lagi…


KUALA LUMPUR, 16 Sept – Tidak kiralah apa sahaja yang dilakukan oleh BN/UMNO, sama ada untuk keselesaan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat maka akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang atas tujuan untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Begitu juga halnya dengan hal pembebasan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam yang telah dipergunakan sebagai bahan politik oleh pakatan pembangkang dalam usaha mereka memburuk-burukkan kerajaan Pusat.

Apa yang pasti, tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein yang mengumumkan pembebasan lima tahanan ISA yang ditahan dimanipulasi kononnya ia ada kaitan dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung Oktober nanti.

Tindakan negatif pakatan pembangkang terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan sememangnya bukanlah sesuatu yang baru malahan seringkali apa yang dilaksanakan oleh kerajaan akan dimanipulasi atas kepentingan dan keuntungan mereka sendiri.

Bukan sahaja memutar belitkan fakta yang sedia ada malah,ayat-ayat propaganda yang bombastik digunakan bagi menyedapkan cerita agar rakyat terpengaruh dengan dakyah mereka untuk membenci Kerajaan.

Sememangnya ini bukanlah kali pertama berlaku malah dalam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan akan tetap dipropagandakan oleh oleh pembangkang sebagai kunci utama mereka termasuklah menimbulkan aib, fitnah dan caci maki kepada Kerajaan walhal mereka sendiri turut mendapat tempias hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Nilailah sendiri, bagaimana mungkin pakatan pembangkang mahu bercakap tentang agenda dan masa depan parti mereka sedangkan mereka sendiri tandus dan fakir dalam mensyukuri setiap nikmat yang ada.

Jikalau mereka mahu bercakap tentang pembangunan dan kemajuan dalam parti mereka, bagaimana mungkin ia akan dilakukan sedangkan pakatan pembangkang tidak pernah menyumbang kepada apa-apa kemajuan sama ada di negeri lain apatah lagi di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka sendiri.

Begitu juga sekiranya mereka mahu bercakap tentang perpaduan, tidak ada satu bukti pun yang mereka benar-benar mengamalkan perpaduan sedangkan sikap mereka sendiri saling bermuka-muka biarpun sesama khalayak mereka sendiri, depan cakap lain dan di belakang tersedia belati tajam untuk saling bertikam.

Apatah lagi idealogi antara tiga parti bersekutu iaitu PAS, DAP dan PKR sendiri jauh menyimpang daripada apa yang menjadi realiti, dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Apa yang jelas, janji-janji yang mereka taburkan selama ini hanyalah palsu belaka, termasuklah berkerajaan sendiri, menjadi Perdana Menteri, kerajaan bayangan dan pelbagai janji manis yang nyata tidak akan menjadi realiti.

Lantaran itulah, modal paling mudah bagi pakatan pembangkang adalah dengan mencari keburukan dan memanipulasikan fakta-fakta sebenar demi kepentingan politik mereka.

Tuesday, September 15, 2009

Putihkan segera senarai daftar undi.


Biarpun keahlian UMNO dikatakan mencecah lebih 3 juta orang tetapi satu usaha pemutihan perlu dilakukan segera bagi memastikan keahlian sebenar, aktif dan tidak keluar parti disamping tidak terdapat ahli parti yang menentang UMNO mahupun Barisan Nasional (BN).
Perkara tersebut dianggap penting sekiranya usaha penghapusan kuota dalam pemilihan kepimpinan parti hendak dilaksanakan kerana memerlukan keahlian yang aktif dan tidak terpesong dari arus perjuangan UMNO.

UMNO pada keseluruhannya mesti bertindak segera melakukan usaha pemutihan ini dan ianya tidak memerlukan masa yang lama dan UMNO Bahagian perlu menyerahkan senarai keahlian kepada ibu pejabat parti untuk mengeluarkan nama-nama individu tertentu kerana kesalahan yang membabitkan menyokong parti pembangkang dan telah menyertai parti pembangkang namun masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan.

UMNO serta komponen parti BN diharap dapat bertindak awal untuk membuat bantahan sekiranya terdapat daftar pemilih yang disyaki bukan penduduk asal terutama ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pengundi sesuatu kawasan pada setiap suku tahun.
UMNO dan BN perlu peka dengan perkembangan ini dan perlu lah memastikan setiap ahli harus berdaftar sebagai pemilih. pastikan bukan saja kita daftarkan pemilih yang baru tetapi pastikan setiap kali senarai pemilih dipamer pada umum, kita boleh buat bantahan sekiranya ada nama yang kita syaki bukan penduduk di kawasan atau alamat berkenaan. baru-baru ini SPR mendedahkan yang parti DAP paling ramai mendaftarkan pemilih baru manakala UMNO berada di tempat ketiga di kalangan parti politik di negara ini.
Kemungkinan bahawa pendaftaran pemilih yang dibuat oleh di pihak pembangkang bukan semata-mata pendaftaran pengundi baru tetapi melibatkan pemindahan pengundi lama dari kawasan tertentu ke kawasan yang menjadi tumpuan mereka.

Pesanan kepada setiap ahli UMNO, Tidak guna ahli UMNO sekiranya kita tidak mendaftar untuk menjadi pengundi, kerana setiap undi ahli adalah penting untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN pada pilihanraya kelak.

Saturday, September 12, 2009

Al-Fatihah: Dua pegawai TUDM terbunuh, pesawat ringan terhempas di Langkawi


ALOR SETAR: Pesawat ringan yang terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tengah hari tadi, disahkan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalani sesi latihan lencong.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, pesawat ringan PC7 MKII yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar itu terhempas pada 12.20 tengah hari tadi, setelah berlepas dari KTU pada pukul 11.54 pagi.

Komander pesawat ialah Mejar Mohd Zulkifli Hasan, dibantu Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa, kata TUDM.

Kedua-dua juruterbang disahkan meninggal di tempat kejadian dan waris mereka telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Difahamkan jenazah mangsa telah diterbangkan dari Hospital Langkawi ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini, sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Mohd Roszaini, 37, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan meninggalkan seorang balu dan tiga anak, manakala Zulkifli, 38, berasal dari Taiping, Perak meninggalkan seorang balu serta lima anak.

Menurut kenyataan itu lagi, TUDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Wednesday, September 9, 2009

Azhari antara 6 didakwa insiden kepala lembu


SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lepas.
Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40, mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Kesemua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim merupakan pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mencadangkan agar kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada kesemua tertuduh.

Beliau berkata kesemua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.
Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undangundang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39. Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar wang jaminan.

Suasana di dalam keduadua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. BERNAMA